Monday, October 25, 2010

Kepartian tidak wujud dalam Islam?

Tulisan ini adalah bagi menjawab isu parti tiada dalam Islam dan menjadi sebab utama perpecahan umat Islam.

Jika dulu masyarakat kita didendangkan/dilagukan dengan politik suku dan agama suku, dan perkara ini telah mendarah-daging serta amat sukar untuk dibuang oleh kita, tapi kini perkataan itu sudah hampir tiada dengan berkat kesungguhan alim-ulama’ yang berterusan dalam menyampaikan Islam yang syumul. Parti politik yang berakidah sekular pun sekarang sudah bercakap tentang agama dan malu untuk mengulangi perkataan sedemikian.

Sehingga pada ketika itu, siapa yang memasukan agama ke dalam politik, ia dianggap asing dan boleh mengancam pemerintah serta dianggap pemberontak. Sehinggakan ada ulama yang di ‘ISA’ kan serta dikenakan pelbagai tindakan zalim yang lain.

Selesai masalah itu. Tetapi timbul masalah lain pula. Beberapa golongan/jemaah Islam cuba menidakkan keperluan parti politik yang menjadi pemain utama (key player) kepada politik demokrasi dan menganggapnya adalah haram dan menjadi penyebab utama pecah belah.

Hujah mereka adalah berdasarkan ucapan Imam Hasan Al-Banna ketika menyampaikan ucapan dalam satu perhimpunan mahasiswa Ikhwan Muslimin pada tahun 1357 Hijrah. Ucapan yang disampaikan pada ketika itu menyatakan yang kepartian ini tidak ada dalam Islam dan menjadi punca perpecahan umat Islam di Mesir yang mana ketika itu baru hendak didirikan. Imam Hasan Al-Banna agak keras ketika menidakkan ketidakperluan politik kepartian di Mesir ketika itu.

Tetapi jika diperhalusi sehingga akhir ucapannya,

1. Beliau tidak menidakkan secara mutlak ketidakkeperluan kepada parti politik di tempat-tempat lain selain Mesir. Tempat yang berbeza memungkinkan tindakan dan langkah yang berbeza.

2. Beliau menyatakan itu hanyalah pandangan peribadi beliau.

3. Suasana ketika itu ialah suasana pembentukan negara.

4. Sebab utama penolakkannya ialah perpecahan sesama Islam.

Boleh difahami dari ucapannya, parti politik bukannya dianggap haram secara li zaa tih tetapi haram li ghoirih. Haram bersebab, bukannya haram sebab perkara (parti) itu sememangnya haram.

Dr Yusuf Al-Qardhawi yang merupakan anak didik Ikhwan Muslimin dan merupakan salah seorang pengkagum kepada pendapat Imam Hasan Al-Banna sendiri pun mengambil sikap dan pendapat yang menganggap parti politik boleh ditubuhkan dengan beberapa syarat;

1. Ia hendaklah mengiktiraf Islam sebagai akidah dan syariat, tidak memusuhinya atau mengingkarinya walaupun mempunyai ijtihad yang tersendiri dalam kefahamannya berdasarkan asas-asas ilmiah yang diakui.

2. Ia tidak bekerja untuk pihak yang memusuhi Islam dan umatnya walau apa nama dan kedudukannya.

Tidak dibolehkan menubuhkan parti yang menyeru kepada atheis, pergaulan bebas, sekular, mengecam agama langit khususnya Islam. Atau memperkecilkan Islam sama ada akidah atau syariat, Al-Quran atau Nabinya s.a.w.

Beliau menganggap berbilangnya parti Islam sama seperti berbilangnya mazhab-mazhab fiqh dalam Islam. Berbilangnya parti itu tidak boleh atas dasar apartheid, perkauman, geografi, kasta atau lain-lain lagi. Contoh bagi parti seperti itu ialah satu mazhab dalam politik yang mempunyai falsafah, usul dan method yang mengambil asasnya daripada Islam yang luas. Ahli parti itu adalah menyerupai pengikut mazhab fiqh. Semuanya menyokong pandangannya sebagai betul dan paling berhak untuk diperkuatkan.

Ketika menyentuh pendapat Imam Hasan Al-Banna, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan tidak menjadi kesalahan jika kita meninggalkan pendapat Al-Imam. Hal ini kerana suasana semasa serta keadaan pemikiran manusia juga telah banyak berubah. Malah beliau menyebut Al-Imam bukanlah seorang yang jumud dan fanatik dengan pendapatnya, bahkan jika beliau masih hidup mungkin beliau akan menukar fatwa atau pendapatnya mengikut keadaan semasa.

Walaupun ia berkenaan dengan berbilangnya jemaah Islam, tetapi falsafahnya boleh diambil dalam isu hukum parti politik.

Namun diulangi sekali lagi, apa pun alasan parti politik yang bersifat perkauman, atheis, yang menyubur ikhtilat dan yang menyimpang dari aqidah serta syariat Islam tidak dibolehkan sama sekali wujud.

-mohd asri omar-

No comments:

Post a Comment